fbpx

Maut terkena renjatan pagar elektrik buatan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk Kampung Star Baru, Gua Musang menunjukkan lokasi mangsa ditemui mati akibat renjatan pagar elektrik.

GUA MUSANG – Misteri bau busuk dari kawasan kebun berhampiran sebuah rumah di Kampung Star Baru di sini sejak tiga hari lalu terbongkar apabila mayat seorang lelaki yang terkena renjatan pada pagar elektrik ditemui hari ini.

Mangsa, Mokhtar Mat Nor, 56, ditemui dalam keadaan rentung oleh jirannya, Mohd. Razali Harun, 54, yang melalui kawasan pagar elektrik yang dipasang untuk menghalau babi ketika keluar menoreh getah pukul 8 pagi tadi.

Menurut Mohd. Razali, dia curiga dengan bau menyenangkan dari arah rumah mangsa yang terletak kira-kira 50 meter dari kediamannya.

Katanya, dia bersama isteri yang ketika itu ingin menoreh getah singgah di rumah mangsa itu dan melihat keadaan pintu rumah mangsa terbuka.

“Saya memanggil singkatan namanya iaitu Tar berulang kali dan melihat kepulan asap dari arah belakang sebelum menjumpai mangsa terbaring di atas tanah. Tubuhnya sudah rentung dan kaki mangsa juga terbelit pagar elektrik itu.

“Saya terkejut dan segera berlari memanggil jiran lain sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, mangsa maut dalam keadaan mengiring di tepi rumahnya berdekatan dengan pagar elektrik.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI