PASIR MAS – Lapan lelaki dicekup ketika mereka sedang leka berjudi daun terup di dalam sebuah rumah di Kampung Banggol Che Musa, Meranti di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 11.15 malam itu, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 50 tahun itu berjaya ditahan meskipun ada yang cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota polis.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, berdasarkan maklumat, polis telah membuat intipan di lokasi itu selama 30 minit dan mendapati lapan orang lelaki sedang bermain judi.
Katanya, ketika serbuan dijalankan, polis turut merampas 52 keping daun terup, wang tunai berjumlah RM188, sehelai kain selimut dan 137 biji pil kuda di atas lantai tempat mereka bermain judi.
“Kesemua suspek turut dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard ketika Perintah Kawalan Pergerakan dengan berkumpul secara beramai-ramai.
“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Pasir Mas untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Nasaruddin, kesemua suspek turut disiasat mengikut Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindahan 2021) kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka. – K! ONLINE