TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berkerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan bekalan dan harga barangan pertanian kekal stabil.
Kerjasama tersebut juga bertujuan memastikan petani dan penternak tidak terniaya dan dalam masa yang sama pengguna pula mendapat harga berpatutan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, usaha berkenaan adalah untuk memastikan situasi menang-menang antara petani dan pengguna.
“Kita memang mempunyai hubungan rapat dengan MAFI kerana mereka jaga peladang, kita jaga pengguna.
“Kalau kita kekurangan ayam kita tiada kuasa untuk keluarkan (bekalan) tetapi harga di bawah kita. Jika ada masalah kita akan bincang,” katanya selepas melakukan lawatan dan pemeriksaan minyak masak dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sekitar Teluk Intan, di sini, hari ini.
Menurut Rosol, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga sayuran di pasaran, malah terdapat penurunan harga berbanding ketika musim perayaan sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Rosol turut memaklumkan, sebanyak RM1.09 juta kompaun dikutip KPDNHEP melalui 160 kes berkaitan pelanggaran pematuhan SOP.
Ia membabitkan syarikat dan individu yang gagal mematuhi SOP mengikut Akta 342 sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 hingga 11 Jun lalu. – K! ONLINE