fbpx

KKM rampas produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM2.07 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemeriksaan bungkusan pos yang dijalankan KKM baru-baru ini bagi mengesan penjualan produk farmaseutikal terlarang secara dalam talian. - Foto Ihsan KKM

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM)  merampas 61,864 unit produk kesihatan tidak berdaftar termasuk produk mengandungi bahan psikotropik bernilai RM2.07 juta dalam Operasi Pangea XIV yang bermula 18 Mei sehingga 25 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan serbuan ke atas 94 premis perniagaan yang terlibat dalam penjualan produk farmaseutikal tidak berdaftar secara dalam talian.

Beliau berkata, pihaknya mendapati terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform dalam talian dalam operasi kali ini.

Menurutnya, sepanjang operasi itu, sebanyak 157 bungkusan pos mengandungi 9,115 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar berjumlah RM108.352 turut dirampas.

“Turut dirampas dalam serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian ini adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, berbanding dengan Operasi Pangea pada tahun lalu, lebih 60 peratus produk yang dirampas pada tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

“Sebanyak 18 peratus daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik.

“Selebihnya adalah ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat anti inflammatory dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM,” jelasnya.

Tambah Noor Hisham, pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.

“Sejumlah 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM42,213.

“Selain itu, sebanyak 2,600 laman web termasuk ‘dark web’ dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan telah dipantau, disiasat dan diambil tindakan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI