fbpx

Harapan Denmark berkecai dek penangan Finland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG Finland, Joel Pohjanpalo (kiri) menanduk masuk bola untuk jaringan tunggal Finland sekali gus menewaskan Denmark 1-0 pada aksi Kumpulan B Euro 2020 di Stadium Parken, Copenhagen sebentar tadi. - AFP

COPENHAGEN – Impian pasukan Denmark untuk mencatat kemenangan pertama mereka di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada Finland pada aksi Kumpulan B Euro 2020 di Stadium Parken sebentar tadi.

Sudah pasti ketiadaan bintang utamanya, Christian Eriksen yang rebah secara tiba-tiba pada penghujung babak pertama perlawanan kemungkinan menyebabkan moral pemain Denmark sedikit terganggu.

Insiden menggemparkan itu menyebabkan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengeluarkan kenyataan menunda perlawanan tersebut atas sebab kecemasan perubatan.

Sementara itu, Eriksen yang dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dikatakan sudah stabil dan boleh bercakap.

ERIKSEN diusung keluar stadium untuk dikejarkan hospital bagi menerima rawatan lanjut selepas rebah tiba-tiba di atas padang sebentar tadi.

Selepas lebih sejam saingan tertangguh, aksi antara Denmark dan Finland kemudiannya diteruskan pada minit ke-40 separuh masa pertama dengan Mathias Jensen dimasukkan bagi menggantikan Eriksen.

Bersambung babak kedua perlawanan, Finland dilihat terus bekerja keras mengubah rentak perlawanan dan tindakan itu berjaya apabila mereka meraih gol pembukaan pada minit ke-60.

Gol tersebut pula dijaringkan oleh Joel Pohjanpalo yang bijak menanduk masuk bola hasil hantaran Jere Uronen sekali gus menewaskan penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel.

Denmark berpeluang menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-74, namun rembatan lemah Pierre-Emile Hojbjerg mudah dibaca penjaga gol Finland, Lukas Hradecky.

Denmark yang tersentak dengan keadaan tersebut terus meningkatkan tempo permainan, namun percubaan mereka gagal menembusi benteng pertahanan Finland.

Kedua-dua pasukan semakin rancak melancarkan serangan pada lima minit masa tambahan yang diberikan, namun kedudukan 0-1 kekal hingga tamat perlawanan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI