fbpx

Guna dua buah lori angkut enam tan barangan terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK Ariff (kiri) menunjukkan koridor rumah seorang penghuni yang kosong selepas dibersihkan di Bayan Baru, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Pihak berkuasa tempatan menggunakan dua buah lori bagi mengangkut kira-kira enam tan barangan terpakai yang dikumpul seorang penghuni di Flat Bukit Gedung, Bayan Baru di sini.

Kerja-kerja membersih termasuk mengangkut timbunan barang lusuh dari tingkat empat flat itu dilakukan semalam dan mendapat kerjasama pihak pe­ngurusan blok tersebut.

Proses itu mengambil masa kira-kira dua jam bermula pada pukul 2 petang bagi memastikan tiada lagi barangan terpakai di­tinggalkan di koridor rumah peng­huni lelaki tersebut.

Penghuninya yang berusia 45 tahun itu juga dikatakan memberi kerjasama yang baik walaupun berlaku sedikit kekecohan selepas melihat kehadiran Pe­ngarah Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Nik Ariff Long Dir.

Kunjungan wakil MBPP semalam adalah yang ketiga dalam tempoh seminggu.

Lelaki itu yang enggan dikenali berkata, dia sudah serik dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.

“Saya tahu perbuatan ini (melonggok barangan) menyusahkan semua pihak sehingga ada yang datang berkali-kali ke rumah ini sejak seminggu lalu.

“Saya juga berasa malu de­ngan penghuni lain. Selepas ini, saya rancang untuk mengecat semula dinding luar rumah agar kelihatan cantik,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Berita berkaitan: https://www.kosmo.com.my/2021/06/04/timbunan-barang-lusuh-hampir-cecah-siling-flat/

Sementara itu, Nik Ariff memberitahu, pihaknya mengambil pendekatan mengunjungi rumah lelaki itu selepas mendapati pemiliknya masih gagal menunaikan janji sejak minggu lalu.

“Penghuni sudah berjanji untuk membersihkan koridor rumahnya sebelum tengah malam tadi (kelmarin) selepas beberapa kali tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa.

“Hari ini (semalam), kami turun lagi buat kali ketiga untuk melihat sendiri kerja-kerja pembersihan bagi memastikan koridor bersih dan kosong,” katanya.

Dianggarkan sebanyak enam tan barangan terpakai berjaya dikumpul dan diangkut dengan menggunakan dua buah lori ma­sing-masing seberat tiga tan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan tindakan seorang penghuni flat di Bayan Baru melonggokkan barangan lusuh sejak tiga bulan lalu di koridor hadapan rumah­nya mendatangkan kebimbangan penduduk.

Rata-rata penduduk risau sekiranya barangan seperti kerusi besi dan meja kayu yang ditimbun mencecah siling koridor terjatuh lalu menghempap mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI