KOTA KINABALU – Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu merampas 6,700 liter diesel dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM266,905 dalam operasi terancang di perairan SAFMA kelmarin.
Taktik juragan yang mengubah suai tangki bot pukat tunda juga gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan menerusi operasi sama sekitar pukul 5 petang itu.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, pemeriksaan ke atas bot pukat tunda berkenaan menemukan lapan tangki yang sudah diubah suai.
“Lapan tangki terbabit dibahagiankan dalam ruangan enjin bot berisi 5,000 liter diesel manakala sebuah lagi tangki turut diubah suai di bahagian haluan bot berisi 1,700 liter diesel. Keseluruhan diesel yang disembunyikan adalah dianggarkan sebanyak 6,700 liter.
“Turut ditemui satu unit mesin pam mudah alih dan hos yang disembunyikan di atas bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Roslan menyatakan juragan bot ialah lelaki tempatan berusia 63 tahun yang turut diperiksa.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang permit membeli, menyimpan, membawa serta memasarkan bahan api itu daripada Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM266,905 berdasarkan harga pasaran semasa. Bot pukat tunda sudah disita dan dibawa ke Markas operasi PPM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – K! ONLINE