fbpx

Tukang rumah rugi RM1,400, terpedaya jualan iPhone 12 RM350

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUANTAN – Tertarik dengan iklan jualan telefon pintar iPhone 12 pada harga RM350, seorang tukang rumah berusia 55 tahun mengalami kerugian RM1,400 apabila terpedaya dengan sindiket penipuan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa melihat iklan terbabit di laman Facebook ketika berada di rumahnya di Jerantut, pada pukul 9 pagi semalam.

“Mangsa terus menghantar mesej ke nombor telefon yang dipaparkan dalam iklan itu dengan menyatakan minat untuk membeli telefon terbabit sebelum dia diberikan satu nombor akaun untuk tujuan pembayaran.

“Pada hari sama kira-kira pukul 12.45 tengah hari mangsa telah membuat pembayaran harga telefon berkenaan melalui mesin deposit tunai (CDM) di Bank CIMB Jerantut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pada pukul 3 petang hari yang sama mangsa menerima panggilan daripada nombor telefon sama dan diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM1,050.

Katanya, bayaran terbabit kononnya sebagai bayaran pengaktifan kad ahli iPhone, pengambilan nombor ‘tracking’ dan insuran telefon yang mana mangsa dijanjikan dipulangkan kembali wang berkenaan.

“Mangsa sekali lagi membuat pembayaran ke akaun sama seperti yang diminta melalui CDM bank sama pada pukul 3.35 petang.

“Kemudian mangsa mula curiga dan berasa tertipu apabila dia sekali lagi diminta untuk membuat pembayaran atas pelbagai alasan oleh pihak berkenaan sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu,”ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI