BAKU – Wales dan Switzerland terpaksa berpuas hati apabila berkongsi satu mata selepas seri 1-1 pada aksi Kumpulan A Euro 2020 yang berlangsung di Stadium Olimpik sebentar tadi.
Switzerland pastinya kecewa dengan keputusan tersebut memandangkan mereka dilihat pasukan yang lebih baik pada perlawanan itu apabila banyak melakukan asakan ke arah pintu gol lawan.
Bagaimanapun, mereka perlu menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan banyak peluang menjaringkan gol menerusi ketumpulan jentera serangan yang diketuai Haris Seferovic.
Pada perlawanan itu, Switzerland dilihat pasukan lebih baik berbanding Wales apabila menguasai sebahagian besar permainan selain banyak menguji kecekapan penjaga gol lawan, Danny Ward.
Malah pada separuh masa pertama, skuad kendalian Vladimir Petkovic itu melakukan banyak percubaan berbahaya ke arah pintul gol Wales, namun dinafikan Ward selain percubaan gagal menemui sasaran.
Bersambung babak kedua, Switzerland tidak menunggu lama apabila penyerang, Breel Embolo meledak gol pembukaan selepas menanduk masuk sepakan penjuru Xherdan Shaqiri pada minit ke-49.
Wales yang tersentak dengan gol tersebut terus meningkatkan tempo permainan dan berjaya menyamakan kedudukan selepas tandukan menarik penyerang, Kieffer Moore pada minit ke-74 menggegar gawang lawan.
Switzerland juga hampir pasti untuk membawa pulang tiga mata, namun gol yang dijaringkan pemain gantian, Mario Gavranovic lima minit sebelum tamat permainan dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia berada dalam kedudukan ofsaid.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun terus melancarkan serangan pada lima minit masa tambahan yang diberikan, namun kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan. – AGENSI