ALOR GAJAH – Kegiatan sepasang suami isteri mengedar dadah di sekitar kawasan Masjid Tanah di sini terbongkar selepas polis menjumpai dadah yang disorokkan di lantai garaj rumah mereka di Taman Masjid Tanah di sini, kelmarin.
Suspek wanita berusia 31 tahun itu yang juga merupakan juruteknik komputer dicekup dalam serbuan pada pukul 3.05 petang, manakala suaminya 35 tahun ditahan pada pukul 7 malam di Balai Polis Masjid Tanah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, hasil risikan, sepasukan pegawai dan anggota telah memeriksa rumah teres dua tingkat tersebut dan menjumpai sembilan peket lutsinar dipercayai dadah.
Katanya, dadah tersebut telah disorokkan di lantai garaj rumah berkenaan yang turut dijadikan bengkel membaiki motosikal.
“Ketika serbuan dilakukan, hanya suspek wanita berada di rumah. Pemeriksaan di garaj menjumpai satu beg berzip mengandungi sembilan peket plastik lutsinar dan dua tiub straw disyaki heroin seberat 56.19 gram.
“Polis turut menjumpai lima biji pil eramin 5 anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah RM2, 875,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, wanita tersebut telah dibawa ke Balai Polis Masjid Tanah bagi membantu siasatan dan suaminya telah hadir ke balai polis berkenaan bagi berjumpa suspek sebelum turut ditahan pada pukul 7 malam.
“Hasil soal siasat, suspek lelaki merupakan seorang mekanik motosikal dan mendakwa telah melakukan aktiviti pengedaran dadah di kawasan setempat.
“Hasil ujian air kencing si suami turut menunjukkan positif dadah jenis morfin,” katanya.
Ujarnya, bagaimanapun kedua-dua suspek yang kini direman selama enam hari tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah yang mana membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan Seksyen 15(1)(a)/12(2) akta sama . – K! ONLINE