PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen Stay Safe & Win SSPN-i 2021 dengan tawaran hadiah lumayan bernilai hampir RM240,000 kepada 39 pemenang sebagai tanda penghargaan untuk pendeposit yang setia membuat simpanan di PTPTN.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen itu terbuka kepada pendeposit SSPN-i yang membuka akaun dan membuat penambahan deposit sepanjang tempoh promosi bermula 1 Jun lalu sehingga 30 September 2021 melibatkan tiga kategori cabutan iaitu Platinum, Gold dan Silver.
“Pelanggan hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan deposit minimum RM200 dalam tempoh promosi dan mengekalkannya selama tiga bulan selepas tamat tempoh promosi bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember 2021.
“Pendeposit layak mendapat satu cabutan bagi setiap simpanan bernilai RM50 dan penyertaan adalah secara automatik,” katanya dalam ucapan pelancaran kempen tersebut melalui laman Facebook rasmi PTPTN di sini hari ini.
Beliau berkata, hadiah utama berupa kereta Proton X50 ditawarkan untuk kategori Platinum manakala sebuah kereta Perodua Myvi 1.5cc bagi Kategori Gold dan sebuah motosikal Yamaha Y15zr khas buat pemenang Kategori Silver.
Tidak ketinggalan pemenang tempat kedua, ketiga dan saguhati bakal menerima hadiah seperti barang kemas, komputer riba dan wang tunai.
Katanya, pendeposit yang memiliki akaun SSPN-i turut menikmati pelbagai keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, dividen yang kompetitif, perlindungan takaful ringgit ke ringgit serta pemberian geran sepadan percuma sehingga RM10,000 kepada yang layak.
“Pelancaran kempen ini adalah usaha PTPTN agar rakyat Malaysia sentiasa mengutamakan simpanan demi masa depan serta mengamalkan penjagaan kesihatan diri dan keluarga dalam menghadapi cabaran Covid-19.
“Menerusi amalan Kekal di Rumah, Kekal Selamat kita masih dapat menyemarakkan budaya menabung dengan membuat simpanan secara online yang lebih mudah, cepat dan selamat,” ujarnya. -K! ONLINE