PETALING JAYA – Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memohon lebih banyak program sokongan disediakan untuk golongan majikan yang terjejas terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana serta mikro susulan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula Selasa ini sehingga 28 Jun depan.
Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya memahami perkara itu tidak dapat dielakkan berikutan kadar purata jangkitan Covid-19 harian yang masih tinggi dan turut meramalkan PKP 3.0 akan disambung lagi pada masa depan.
“Kerajaan wajar memperluas capaian moratorium dengan memasukkan golongan M40 dan semua perniagaan mencakupi semua jenis pinjaman termasuk overdraf, gadai janji, pinjaman kenderaan dan kad kredit.
“Moratorium harus diberikan secara automatik sehingga akhir 2021 tanpa faedah serta dalam tempoh ini kami merayu pihak bank mengetepikan semua faedah dan caj bank disebabkan penjadualan semula dan kelewatan pembayaran pinjaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MEF berpendapat, pada masa darurat nasional, pihak bank harus maju ke hadapan menghulur bantuan kepada pengusaha perniagaan dan peminjam individu sekali gus membantu memastikan pemulihan ekonomi berjalan lancar.
Syed Hussain berkata, tempoh PKP yang lebih lama dikhuatiri mencetuskan tekanan kewangan berterusan sehingga menyebabkan tekanan mental yang akhirnya mengundang insiden bunuh diri, perceraian dan kes keganasan rumah tangga dalam kalangan masyarakat.
Justeru, pihaknya menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan segala usaha yang dilakukan kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok dan membendung penularan wabak koronavirus di negara ini. – K! ONLINE