BEAUFORT – Polis daerah ini memusnahkan lapan lagi rumah pernah digunakan sebagai tempat persembunyian kumpulan militan Abu Sayyaf berhampiran Taman Sri Arjuna semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, operasi khas pemusnahan berkenaan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dengan kerjasama Majlis Daerah Beaufort dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Operasi pemusnahan kawasan persembunyian itu adalah untuk menghapuskan sarang penempatan kumpulan militan terbabit sepenuhnya.
“Ini operasi kedua membabitkan rumah yang pernah dijadikan lokasi persembunyian kumpulan Abu Sayyaf sebelum ini.
“Kita percaya rumah dimusnahkan ini menjadi tempat persembunyian yang mampu menempatkan 38 orang.
“Rumah ini dibina mengikut kepada teknik perang gerilla yang sukar dikesan walaupun menerusi pemantauan udara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Yusoff Zaki meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung ahli militan Abu Sayyaf diminta tampil membantu demi menjaga keselamatan negara.
Sementara itu, beliau memaklumkan secara keseluruhan setakat ini 14 buah rumah sudah dimusnahkan dan operasi fasa ketiga dijangka akan diteruskan dalam masa terdekat. – K! ONLINE