TUMPAT – Polis sudah menutup semua laluan tikus di Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini selepas dua lokaliti itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, sehubungan dengan itu, pihaknya akan meningkatkan kawalan menerusi rondaan dan pemantauan berterusan di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan tikus.
Menurutnya, meskipun laluan masuk telah ditutup menggunakan kawat berduri, namun rondaan tetap perlu dilakukan bagi memastikan tiada sebarang pergerakan berlaku.
“Kita mengambil serius perkara ini bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 di kawasan itu berjaya diputuskan dengan sebaik mungkin.
“Saya akui tugasan di kedua-dua lokaliti ini agak mencabar kerana ia melibatkan ramai tenaga kerja bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Ab. Rashid turun padang meninjau gerak kerja dan tugasan anggota pasukan keselamatan di PKPD Kampung Kutan Tengah.
Terdahulu, kedua-dua lokaliti itu dikenakan PKPD bermula semalam sehingga 24 Jun ini selepas berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan.-K! ONLINE