fbpx

Itali langkah kanan benam Turki 3-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG Itali, Immobile (kiri) menjaringkan gol kedua skuad The Azzurri ketika menewaskan Turki 3-0 pada aksi Kumpulan A Euro 2020 di Stadium Olimpico, Rom sebentar tadi. - AFP

ROM – Aksi pembuka tirai Euro 2020 menyaksikan Itali memulakan saingan Kumpulan A dengan langkah kanan apabila menewaskan Turki 3-0 pada aksi di Stadium Olimpico sebentar tadi.

Sebaik wisel perlawanan ditiup, The Azzurri menepati ramalan apabila menguasai sepenuhnya permainan dengan melakukan serangan demi serangan, namun dihampakan oleh kekebalan benteng pertahanan Turki.

Itali hampir berada di depan pada minit ke-22 selepas pemain pertahanan, Giorgio Chiellini menanduk kemas sepakan penjuru Lorenzo Insigne, namun ditepis penjaga gol Turki, Ugurcan Cakir.

Pemain-pemain Itali turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pengadil perlawanan, Danny Makkelie apabila enggan memberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Zeki Celik pada penghujung separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, Itali langsung tidak mengendurkan serangan dan usaha mereka berbaloi apabila pemain pertahanan Turki, Merih Demiral menjaringkan gol sendiri selepas tertampan hantaran lintang Domenico Berardi pada minit ke-53.

Skuad kendalian Roberto Mancini terus mengukuhkan kedudukan dengan meledak gol kedua menerusi penyerang berbisa, Ciro Immobile pada minit ke-66 selepas tenang menyepak masuk bola yang ditampan Cakir.

Malang terus menimpa Turki apabila gawang mereka dibolosi buat kali ketiga selepas Insigne mencetak nama selaku penjaring ekoran kesilapan yang dilakukan penjaga gol Turki pada minit ke-79.

Meskipun sudah mendahului dengan tiga gol, namun Itali terus ghairah untuk menambah jumlah jaringan, bagaimanapun kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlawanan.

Bagi perlawanan seterusnya, Itali dijadualkan bertemu Switzerland untuk aksi kedua peringkat kumpulan, manakala Turki akan membuat perhitungan dengan Wales pada 17 Jun ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI