GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan sekiranya kenaikan harga minyak masak botol 5 kilogram (kg) yang berlaku ketika ini dijadikan alasan oleh peniaga makanan untuk menaikkan harga.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya khuatir sekiranya tidak dikawal ia akan membebankan pengguna yang sedang berdepan masalah getir ekoran pandemik Covid-19.
Menurutnya, tinjuan CAP di beberapa pasar raya besar dan kedai runcit di sini mendapati berlaku kenaikan sehingga RM5 sebotol yang menjadikan harganya mencecah RM34.50.
“Dalam keadaan sebegini, pengguna sangat terbeban dengan kos sara hidup termasuk kehilangan pendapatan ekoran wabak tersebut.
“Minyak masak adalah barangan keperluan harian dan CAP meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mencari kaedah agar kenaikan harga minyak masak itu tidak berulang,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.-K! ONLINE