fbpx

Harapan Harimau Malaya bangkit berkecai ditelan Naga Emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE PAULA (tengah) dikepung oleh dua hingga tiga pemain pertahanan Vietnam pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai sebentar tadi. - FAM

DUBAI – Hasrat Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2023 secara automatik tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Vietnam dalam aksi peringkat Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Al Maktoum itu, ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan utama terbaik dengan Brendan Gan dan Syafiq Ahmad menggantikan tempat Liridon Krasniqi serta Nor Azam Azih yang beraksi ketika bertemu UAE minggu lalu.

Percaturan tersebut ternyata membuahkan hasil selepas Harimau Malaya mempamerkan aksi rancak pada awal saingan dengan berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan.

Percubaan terbaik skuad negara hadir menerusi percubaan Syafiq pada minit ke-19, tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Namun, benteng Harimau Malaya tersentak apabila skuad Naga Emas berjaya meraih gol hasil tandukan Nguyen Tien Linh pada minit ke-27 yang berjaya menewaskan penjaga gol negara, Farizal Marlias.

Jentera serangan negara berusaha untuk mencari gol penyamaan sebelum tamat babak pertama, namun tandukan Syafiq pada minit ke-39 dan sepakan percuma yang dilakukan oleh Safawi Rasid berjaya diselamatkan oleh Tan Truong.

Bersambung babak kedua, Cheng Hoe membuat rombakan dengan memasukkan tiga pemain baharu, Arif Aiman Hanapi, Nazmi Faiz Mansor dan Akhyar Rashid.

Keputusan tersebut nampak menjadi dengan jentera serangan negara semakin bertenaga selain berjaya mendominasi kembali posisi tengah.

Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula akhirnya mendapat peluang keemasan selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila dikasari oleh benteng pertahanan skuad Naga Emas.

Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh penyerang kelahiran Brazil itu untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-72.

Namun, kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila skuad kendalian Park Hang-seo turut dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-82 yang disudahkan oleh kapten pasukan, Que Ngoc Hai.

Skuad negara berusaha untuk terus menghidupkan sisa peluang tetapi keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kekalahan ini menyaksikan skuad negara menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan meraih sembilan mata ketika saingan hanya berbaki satu perlawanan.

Vietnam pula terus gah di takhta pendahulu dengan 17 mata berbanding pencabar terdekat, UAE yang mengutip 15 mata selepas mencatat kemenangan 5-0 ke atas Indonesia sebentar tadi.

Skuad negara dijadualkan bertemu Thailand pada tengah malam Rabu depan manakala Vietnam akan menentang UAE. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI