ST. PETERSBURG – Hanya gelaran juara Euro 2020 adalah jawapan terbaik buat Belgium yang masih ‘terluka’ dengan kekecewaan tiga tahun lalu apabila sekadar meraih tempat ketiga aksi Piala Dunia 2018 di Rusia.
Kejohanan Euro kali ini juga dikatakan peluang terakhir buat pemain-pemain ‘generasi emas’ Red Devils diketuai Kevin De Bruyne, Eden Hazard dan Romelu Lukaku menamatkan penantian 91 tahun mendakap trofi di pentas antarabangsa.
Sebagai rekod, Belgium tidak pernah menjuarai Piala Dunia sejak kali pertama beraksi pada 1930, manakala pencapaian terbaik di pentas Eropah adalah muncul naib juara sewaktu edisi 1980.
Pemain pertahanan Belgium, Jordan Lukaku menjelaskan, mereka masih lagi merasai kekecewaan tewas tipis 0-1 kepada Perancis pada separuh akhir Piala Dunia 2018 meskipun memenangi tempat ketiga dengan mengalahkan England 2-0.
“Semua orang masih lagi kecewa dengan kekalahan itu kerana kami cuma selangkah lagi untuk bermain di pentas final (Piala Dunia 2018).
“Kami tahu pasukan ini mempunyai kualiti untuk memenangi trofi tetapi langkah kami dihalang oleh Perancis. Kami menyesal kerana jika menewaskan Perancis, kami percaya gelaran Piala Dunia akan menjadi milik kami.
“Kami masih lagi merasai tekanan hebat daripada semua termasuk para penyokong dan pihak media yang melabelkan pasukan ini sebagai ‘generasi emas’ Belgium. Saya jangkakan Euro 2020 adalah peluang terakhir kami,” katanya.
Belgium yang akan membuka kempen menentang Rusia di Stadium Krestovsky awal pagi esok, dijangka tidak berdepan masalah untuk mengungguli saingan Kumpulan B yang turut disertai Denmark dan Finland.
Skuad bimbingan Roberto Martinez itu akan merasai cabaran sebenar apabila mara ke peringkat kalah mati nanti. – AGENSI