COPENHAGEN – Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand berharap aksi di laman sendiri mampu membantu pasukan itu menjelang aksi sulung Kumpulan B Euro 2020 menentang Finland di Stadium Parken tengah malam ini.
Difahamkan, kerajaan Denmark sudah meluluskan kehadiran 25,000 penonton pada perlawanan itu, bagaimanapun persatuan bola sepaknya menjelaskan kemungkinan hanya 16,000 penonton bakal hadir.
Biarpun tanpa kehadiran maksimum, namun Hjulmand percaya sokongan padu penyokong sendiri mampu menjadi pembakar semangat buat pemain-pemainnya memburu kemenangan pertama.
“Sudah tentu perlawanan di sini beri kelebihan kepada pasukan kerana kami bakal ditemani ribuan penyokong setia. Semua pemain pastinya akan turun dengan keyakinan tinggi.
“Saya gembira kerana mereka akan bersama kami menjelang perlawanan yang sangat penting nanti. Sorakan serta sokongan mereka boleh membangkitkan semangat pemain,” kata beliau.
Pada masa sama, pemain pertahanan skuad Danish Dynamite itu, Mathias Jorgensen yang merupakan anak jati Copenhagen yakin aksi di Stadium Parken akan membawa tuah buat mereka.
“Ada sesuatu yang sangat istimewa di sini (Parken) bagi membantu pasukan pada perlawanan itu nanti. Saya tidak boleh cakap sekarang kerana ia hanya akan dirasai ketika aksi bermula,” ujarnya. – AGENSI