NAMANYA Nana. Satu panggilan yang cukup ringkas dan dikenali siapa sahaja terutama peminat lagu-lagu berentak melankolik.
Mempertaruhkan bakat selama lebih dua dekad dalam bidang seni suara membuatkan pesona Nana atau nama lengkapnya Siti Nordiana Alias sebagai penyanyi semakin menyerlah.
Graf populariti yang dipersembahkan anak kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu bagaikan tersusun rapi.
Dalam bahasa paling mudah kata, karier tidak terlalu tinggi mendongak langit, tidak juga terlalu rendah menyembah bumi.
Adat sebagai anak seni pasti tidak terlepas daripada percaturan rezeki yang tidak menentu. Adakala, rezeki datang mencurah-curah bagaikan air sungai mengalir deras. Ada ketika, rezeki masih ada walaupun tidak selancar seperti selalu.
Pandemik Covid-19 yang membadai seluruh pelosok dunia juga benar-benar memberikan Nana peringatan untuk terus bersyukur dengan apa jua rezeki kurniaan Ilahi.
Bagi pelantun lagu Angkara itu, tawaran persembahan pernah menghujan sebelum ini ternyata menyediakan bekalan terhadap kerjaya nyanyiannya.
“Memang tidak dinafikan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan, pendapatan saya merosot sebanyak 60 peratus lebih-lebih lagi persembahan secara terbuka tidak dapat dijalankan.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur. Selain menyanyi, saya juga ada punca pendapatan lain seperti menjadi duta produk dan menjalankan pelbagai kempen dan ulasan berbayar dalam platform media sosial.
“Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat membantu saya melunaskan segala komitmen wajib setiap bulan,” katanya membuka bicara bersama HibGlam.
Katanya, dia juga bersyukur kerana prinsip sentiasa beringat dan menyimpan yang diamalkan sejak dahulu turut membantu untuk terus bertahan hingga ke hari ini.
Bukan alasan, kreatif
Biarpun ramai penyanyi dan anak seni sering merungut dek kehilangan tawaran kerja, Nana tidak mahu menjadikan PKP sebagai alasan untuk terus meratap mengenang nasib.
Katanya, dia harus lebih kreatif dan menggunakan segala platform yang ada untuk terus melakukan apa sahaja agar namanya terus kekal relevan dalam arena muzik.
“Buat masa sekarang ini saya banyak menggunakan platform media sosial untuk terus melakukan persembahan secara langsung.
“Biarpun hanya duduk di rumah sepanjang PKP, tetapi saya tetap ada tugas perlu dilaksanakan seperti menjalankan kempen, promosi produk dan menyanyi dalam Instagram supaya peminat tahu yang saya masih aktif.
“Saya juga ada buat jualan album zikir yang dihasilkan menerusi platform Shopee. Saya harus memanfaatkan teknologi media sosial untuk kebaikan dan memastikan kerjaya seni terus berkembang walaupun dalam situasi yang terbatas,” ujarnya.
Tercapai
Meneruskan perbualan, juara Gegar Vaganza 2015 itu menyifatkan dirinya cukup bertuah apabila impian untuk berkolaborasi dan membawakan lagu ciptaan Tam Spider tercapai setelah dua dekad berkecimpung dalam industri.
“Sebenarnya sudah lama saya bercita-cita untuk bekerjasama dengan Tam Spider. Salah satu daripada impian saya sudah pun tertunai apabila dapat menyanyi lagu hasil nukilan Tam.
“Saya percaya sentuhannya cukup istimewa seperti mana lagu Farahdhiya, Bertakhta Di Hati yang masih diminati sehingga kini.
“Secara jujur, saya akui Tam sememangnya seorang komposer yang teliti dan banyak membantu saya mendalami lagu terbaru, Cukup Derita Itu dengan emosi yang tepat dan sampai,” tuturnya.
Menyentuh sedikit mengenai lagu terbaharunya, lagu yang liriknya dinukilkan oleh Siti Rosmizah merupakan runut bunyi drama (OST), drama bersiri Cukup Derita Itu slot Samarinda TV3.
Bagi Nana, 36, Cukup Derita Itu bukanlah lagu OST pertama dendangannya.
Sebelum ini dia juga pernah menyanyikan beberapa lagu lain, seperti Angkara Cinta dan Sebenarnya gandingan bersama Alif Satar.
“Merakam single biasa lebih mudah berbanding OST kerana saya hanya perlu berimaginasi, sama ada membayangkan kehidupan orang sekeliling atau mengaitkan dengan kisah sendiri jika kena dengan liriknya.
“Justeru, saya tetap melakukan ‘homework’ terlebih dahulu iaitu dengan memahami dan menghayati jalan cerita sesebuah drama mahupun filem tersebut sebelum masuk ke dalam studio,” katanya menutup butiran kata.