KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas sanggup berjalan kaki sejauh tiga kilometer dari rumahnya untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Kompleks Balai Islam di sini pada Selasa lalu.
Siti Meriam Sulong, 76, yang merupakan ibu tunggal tetap berjalan kaki hampir tiga jam dari rumahnya di Kampung Pasir Hor di sini selepas motosikal anaknya, Suhaimi Hussin, 42, rosak pada hari tersebut.
Katanya, dia terpaksa hadir pada tarikh tersebut kerana sudah menangguhkan suntikan dos pertama pada bulan lalu atas faktor yang sama.
“Sebaik sampai di PPV, saya terpaksa meminta kebenaran untuk berehat kira-kira setengah jam kerana terlalu penat berjalan sebelum menerima suntikan.
“Jururawat bertugas terkejut apabila mengetahui saya berjalan kaki ke sini selepas keluar dari rumah pada pukul 10 pagi untuk menepati masa janji temu iaitu pada pukul 1.30 tengah hari,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.-K! ONLINE