RANTAU PANJANG – Selepas hanya lima hari dipotong, tali merentasi Sungai Golok berhampiran pangkalan haram di Rantau Panjang di sini yang digunakan penduduk untuk menukar barangan dengan individu dari negara jiran dikesan telah dipasang semula.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, tali baharu itu didapati dipasang semalam selepas polis menjalankan pemantauan di sekitar kawasan pangkalan haram.
Menurutnya, empat lokasi itu adalah pangkalan haram Paun, Hassan Boweh, Hassan Merah dan Pohon Jambu.
“Bagaimanapun, polis telah memotong semua tali-tali tersebut yang digunakan untuk urusan sistem barter di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini khususnya kawasan Rantau Panjang.
“Tindakan memasang semula tali itu boleh menjejaskan tahap keselamatan orang ramai kerana kita tidak tahu kandungan barang yang ditarik menggunakan kaedah tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, tindakan penduduk menggunakan sistem barter itu jelas menyalahi undang-undang negara.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan aktiviti penyeludupan dadah dan senjata api boleh dilakukan menggunakan kaedah tersebut.
Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan, polis telah memotong kesemua tali yang dipasang merentasi Sungai Golok berhampiran pangkalan haram di Rantau Panjang di sini yang digunakan penduduk untuk menukar barangan dengan individu dari negara jiran.
Kerja-kerja pemotongan tali itu melibatkan tiga pangkalan haram iaitu Syed Agil, Che Kassim dan Jambu. – K! ONLINE