fbpx

Siapa dapat minimum 7A SPM, Wawa Zainal hadiahkan RM200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAWA membuat pengumuman terbuka pemberian hadiah wang tunai bernilai RM200 untuk setiap pelajar yang memperoleh minimum 7A dalam SPM 2020.

PETALING JAYA – Pelakon dan usahawan Wawa Zainal tidak lokek berkongsi rezeki untuk meraikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia  2020 (SPM 2020) yang diumumkan semalam.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa binti Zainal Abidin, 29, meminta pelajar yang memperoleh keputusan minimum 7A untuk menghubunginya menerusi Instagram bagi menuntut hadiah berupa wang tunai berjumlah RM200 setiap seorang.

“Tahniah kepada adik-adik yang dapat keputusan SPM tadi (semalam). Siapa yang dapat 7A? Mari DM (mesej peribadi) kak Wawa keputusan sebab nak bagi hadiah,” ujarnya.

Isteri kepada pelakon Aeril Zafril itu ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia cuma ingin berkongsi rezeki dan memberi penghargaan kepada pelajar SPM tahun lalu dalam mengharungi kepayahan belajar dalam suasana pandemik Covid-19.

“Saya kagum sebenarnya dengan mereka kerana ramai rupanya yang bijak pandai dan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM walaupun terpaksa mengharungi kesukaran mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

“Saya sendiri mengakui sukar untuk fokus jika belajar secara maya, namun mereka membuktikan bahawa mereka boleh,” kata Wawa.

PAPARAN transaksi yang telah dilakukan Wawa sebagai hadiah buat pelajar-pelajar cemerlang SPM 2020.

Ditanya tentang sambutan yang diterima, Wawa berkata dia mendapat terlalu banyak mesej daripada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, namun tidak kisah untuk berbahagi rezeki kepada mereka.

“Kita tidak tahu mungkin ada dalam kalangan pelajar tersebut mungkin benar-benar hidup susah, tetapi cemerlang dalam SPM.

“Semoga rezeki yang saya kongsikan ini sedikit sebanyak dapat membuatkan mereka gembira,” katanya.

Semalam, seramai 401,105 calon SPM 2020 memperoleh keputusan mereka yang diumumkan secara dalam talian.

Malah Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin maklum bahawa keputusan SPM 2020 yang diumumkan semalam adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI