JOHOR BAHRU – Seorang pemuda berdepan detik cemas apabila dilarikan sebelum dipukul lima lelaki dalam kejadian di Taman Mount Austin di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dibebaskan kira-kira sejam kemudian selepas dilarikan menggunakan kereta jenis Proton Persona.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, mangsa dibebaskan kira-kira pukul 7 malam hari yang sama di tepi jalan kawasan Mount Austin, dekat sini.
“Hasil siasatan mendapati ada penglibatan seorang wanita dalam kejadian ini. Bertindak atas maklumat polis berjaya menahan wanita terbabit.
“Motif sebenar suspek melarikan mangsa masih dalam siasatan, namun setakat ini tidak melibatkan kegiatan ah long,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.-K! ONLINE