fbpx

Orang Lain ada dalam diri A. Nayaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
A. NAYAKA

SEORANG ahli falsafah pernah berkata, satu-satunya perkara yang tetap dalam hidup ini adalah perubahan. Kalau inginkan perubahan dalam kehidupan, ada beberapa perihal yang bukan hanya perlu dikemas kini tetapi turut digerakkan dengan tindakan yang wajar.

Ternyata, penyanyi rap yang sedang meningkat naik kelahiran Indonesia, A. Nayaka menyedari perihal tersebut. Seiring masa, lebih banyak pengalaman hidup yang diperolehi, dia mengakui bukan lagi orang yang sama.

Justeru, memasuki pertengahan 2021 ini, Nayaka berkongsi naratif berkenaan menerusi single baharunya berjudul Orang Lain.

“Kadang-kadang, orang menganggap bahawa perubahan akan hadir semasa seseorang telah berubah atau ketika seseorang itu telah melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan mereka. Itu sesuatu yang buruk

“Dalam trek ini, apa yang saya ingin ceritakan adalah mengenai sisi positif perubahan. Berubah menjadi orang lain maksudnya berkembang menjadi diri anda yang baharu dan mencari versi diri anda yang lebih baik, itu perkara yang bagus,” katanya mengenai makna di sebalik lagunya tersebut.

PADA 2017, Nayaka melancarkan album mini berjudul, Colorblindflo yang mengandungi enam buah lagu termasuklah, Escape, Powder Pablo, For Real Williams, Midas Touch, Hunnid MF dan Hunnid On Dash.

Cetusan kolaboratif

Nayaka tidak bersendiri dalam menyampaikan mesej mengenai perubahan dalam lagunya. Dia turut berkolaboratif dengan dua bakat hip-hop dari negara jiran, iaitu SonaOne dari Malaysia dan YHB Sleepsalot dari Singapura.

Kerjasama mereka bertiga juga cukup menarik untuk dibentangkan kepada umum.

“Pada mulanya Sona menghantar melodi kepada saya, yang kemudian saya isi dengan cangkuk (hook) dan satu bait kata (verse).

“Rupa-rupanya, Sona juga mengirimkan YHB rentak yang sama, dan YHB pun hanya mengisinya dengan satu bait kata. Sona kemudian terfikir untuk menggabungkan kesemuanya.

“Sesungguhnya kolaborasi ini sangat organik dan lancar sekali,” ujar Nayaka menjelaskan permulaan proses kolaborasi tiga negara itu.

Biarpun lazimnya berkarya dalam bahasa Inggeris, Nayaka tetap mengekalkan pertuturan dwibahasa, bahkan kali ini lebih banyak memberi penekanan terhadap bahasa ibundanya iaitu bahasa Indonesia.

kot NAYAKA (tengah) bergabung dengan SonaOne (kanan) dan pemuzik hip-hop dari Singapura, YHB menerusi single baharu berjudul Orang Lain.

Bahasa nasional

“Sebenarnya, penggunaan bahasa Indonesia bukanlah pilihan yang disengajakan. Perihal itu berkait rapat dengan mesej dalam Orang Lain.

“Dahulu kebanyakan muzik yang saya buat biasanya dalam bahasa Inggeris, tetapi kali ini saya masih tetap menggunakan rentak trap/hip-hop, namun berusaha memasukkan lebih banyak bahasa Indonesia.

“Inti patinya, tidak kira bagaimanapun kita berubah, pada dasarnya kita masih tetap diri kita sendiri. Itu mesej utama yang ingin saya sampaikan. Sejujurnya, saya hanya menyatukan mesej tersebut setelah lagu siap,” ujarnya sambil tertawa.

Perubahan positif lain yang dialami Nayaka, dia lebih bebas dalam berkarya.

KARIER A. Nayaka dalam industri muzik rap dan hip-hop bermula dengan album Curriculum Vitae yang dilancarkan pada 2016.

Katanya: “Saya menggarap sebahagian besar aspek lagu ini. Mixing dibuat oleh Sona, manakala mastering dibuat oleh saya dengan bantuan rakan sekerja.

“Saya membuat kulit single (cover art) dengan seorang rakan lain, begitu juga dengan video liriknya. Sebenarnya saya gembira kerana tidak banyak pihak ketiga yang terlibat dalam projek ini.

“Kerana itu memberi peluang kepada saya untuk benar-benar terlibat dalam semua aspek. Mungkin ini adalah projek pertama di mana saya terlibat dalam hampir semua perkara.”

Sedikit tentang Nayaka, anak muda itu dilahirkan di Jakarta pada 2 Ogos 1994 dengan nama penuh Ariel Nayaka.

Masa remajanya dihabiskan di bandar Houston, Texas, Amerika Syarikat tempat di mana minatnya terhadap hip-hop bermula.

Orang Lain, sentuhan emas Nayaka yang turut menampilkan YHB Sleepsalot dan SonaOne kini boleh boleh didengari di semua pelantar muzik seperti Apple Music, Spotify, JOOX dan YouTube.

BIARPUN pernah terlibat dalam muzik rock, rapper muda ini tetap memilih hip-hop sebagai pilihannya hingga sekarang.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI