fbpx

Michael Ang berhabis RM5,000 tunaikan janji ‘lockdown’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MICHAEL ANG

PETALING JAYA – Pengarah dan penerbit, Michael Ang mengotakan janji mengagihkan ganjaran wang tunai berjumlah RM5,000 kepada 10 penerima yang menyahut cabarannya untuk duduk di rumah selama tujuh hari.

Menurut Michael, dia menerima 7,000 mesej langsung (DM) namun hanya dapat memilih 10 pengikut saja secara rawak atas dasar percaya tanpa memeriksa profil atau latar belakang mereka.

“Dari awal saya sudah berniat membantu golongan memerlukan, jadi saya husnuzon atau bersangka baik kerana saya yakin mereka semua jujur dan memang perlukan wang ini demi kelangsungan hidup.

“Saya berserah saja kerana jika sebaliknya itu antara individu berkenaan dengan Allah. Paling utama saya ikhlas menolong, begitu juga penerima yang tentu saja takkan menipu untuk mendapatkan wang ini.

“Sebak juga apabila lebih 7,000 pengikut menyertai cabaran ‘self quarantine’ atau kuarantin kendiri ini tetapi buat masa ini saya hanya dapat tolong 10 orang saja.

“Apa pun terima kasih kerana sama-sama melaksanakan tangungjawab duduk di rumah bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19. Anda semua hebat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, pada awal bulan ini penggiat seni berusia 45 tahun itu membuat pengumuman ingin berkongsi rezeki, sekali gus meringankan beban insan memerlukan dengan menawarkan RM500 setiap seorang.

Caranya mudah hanya dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang patuh mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu melakukan kuarantin kendiri di rumah.

Sementara itu, Michael juga sama seperti produser lain yang terpaksa menghentikan kerja penggambaran sejak PKP dilaksanakan semula 1 Jun lalu.

Begitupun, dia akur kerana yakin kesihatan dan nyawa orang sekeliling lebih penting selain percaya penguatkuasaan kerajaab menjadi antara langkah mengekang penularan Covid-19 .

Pengarah drama Perempuan Tanpa Dosa itu sendiri agak fobia apabila mendengar kes positif Covid-19 berlaku di set penggambaran produksi lain.

“Memang saya fobia sebab risaukan keadaan pelakon dan semua kru yang bekerja dengan saya. Jika terjadi apa-apa kepada mereka tentu saya yang paling berduka.

“Daripada mendedahkan mereka kepada risiko, lebih baik tangguhkan dulu seperti dikuatkuasakan ketika ini. Saya ada dua drama yang sudah disiapkan 50 peratus, manakala lima lagi tunggu masuk set,” katanya.

Tambah Michael, paling membimbangkan adalah situasi dihadapi krew produksi yang kehilangan punca pendapatan selepas semua jadual tertangguh.

“Saya bersyukur diberikan rezeki untuk dikongsi dengan mereka yang bekerja dengan saya. Ada bahagian mereka kerana saya faham ada yang punyai anak ramai, isteri sarat hamil dan pelbagai lagi situasi.

“Selain bantuan lain, sebelum lockdown dilaksanakan saya jelaskan 85 peratus gaji biarpun kerja penggambaran baharu 50 peratus kerana wang itu sekurang-kurangnya dapat tampung perbelanjaan sebulan.

“Ada yang nak meminjam dulu pun saya tak kisah sebab saya faham dan kenal mereka sudah lama. Tak banyak mana pun yang dapat saya bantu, tetapi diharap kurangkan sikit beban mereka,” katanya.

Selain dikenali sebagai pengarah yang lantang bersuara, hakikatnya Michael antara penggiat seni yang aktif menyalurkan bantuan kepada orang susah secara diam-diam terutama sejak pandemik melanda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI