SHAH ALAM – Seorang kerani syarikat pembalakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen pelepasan gadaian palsu berjumlah RM4.14 juta, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Han Hee Siew, 56, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu didakwa telah menggunakan dokumen pelepasan gadaian palsu (Borang 16N) sehingga menyebabkan bank Standard Chartered mengalami kerugian RM4.14 juta.
Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian daerah Petaling dekat sini pada 26 Mac 2014.
Sabit kesalahan, Hee Siew boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dibacva bersama Seksyen 467 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Amirah Abdul Razak menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin namun Peguam Shalehhuddin Salam memohon jaminan lebih rendah susulan anak guamnnya hanya berpendapatan RM3,000 sebulan.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan tiada penjamin yang hadir semasa prosiding tersebut.
Sebutan semula kes pada 14 Julai depan. – K! ONLINE