PETALING JAYA – Kerajaan terus komited membiayai pelbagai kemudahan dan peruntukan di bawah Ordinan Darurat bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan negara kita dapat meneruskan fungsinya pada tahap yang optimum.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah-langkah seperti kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Ordinan Darurat ini adalah penting.
“Ia penting untuk menentukan supaya sistem kesihatan kita tidak runtuh sewaktu situasi pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Menurutnya, beliau berkesempatan melawat Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pagi tadi untuk melihat sendiri persiapan pihak HPKK sebelum mula menerima dan merawat pesakit Covid-19 pada minggu hadapan.
Ujarnya, pengoperasian HPKK UKM sebagai sebuah hospital Covid-19 adalah susulan penguatkuasaan Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah ditandatangani pada 4 Jun 2021.
“Melalui kedua-dua seksyen ini, Kementerian Kesihatan boleh mengambil milikan sementara HPKK UKM dan lain-lain sumber termasuk sumber manusia bagi tujuan menangani pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah dengan adanya HPKK UKM ini, KKM mempunyai fasiliti tambahan untuk menguruskan pesakit-pesakit Covid-19 yang kritikal dari kawasan sekitar Lembah Klang,” katanya.
Tambah Muhyiddin, beliau juga berkesempatan melihat proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di HPKK UKM yang dioperasikan secara bersama dengan kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
“Insya-Allah semoga usaha ini akan membantu untuk mempercepatkan proses pemberian vaksinasi dan seterusnya mencapai imuniti berkelompok yang disasarkan,” katanya. – K! ONLINE