KUALA TERENGGANU – Jeritan meminta tolong menyelamatkan sebuah keluarga anggota polis berpangkat Lans Koperal daripada kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jalan Hiliran di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, Wan Asrol Wan Ibrahim, 27; isterinya, Norazlin Abd. Ghani, 27, dan bayi perempuan mereka, Wan Tiara Alisa, 12 bulan, diselamatkan jiran-jiran yang terdengar jeritan tersebut.
Salah seorang jiran, Muhammad Aizat Yaakob, 33, berkata, sewaktu kejadian, dia dan isteri sedang menonton televisyen sebelum terdengar jeritan Wan Asrol dan isterinya.
Dia berkata, jeritan itu sayup-sayup didengari kerana mereka tiga beranak terperangkap di bilik tidur belakang.
“Sebaik membuka pintu rumah yang selang tiga pintu, saya nampak api kebakaran sedang marak di bahagian rumah jiran saya.
“Saya segera memecahkan pintu rumah mereka yang terkunci dari dalam sebelum mengarahkan jiran saya tersebut segera keluar menyelamatkan diri bersama isteri dan bayi perempuannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, keadaan Wan Asrol yang bertugas di Pejabat Pentadbiran Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu, isteri dan bayi mereka yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dilaporkan stabil. – K! ONLINE