JAKARTA – Jangkitan demam denggi menurun secara mendadak dalam satu kajian di Indonesia di mana sejenis bakteria digunakan untuk mengurangkan populasi nyamuk Aedes sekali gus memberikan harapan dalam perang terhadap penyakit yang menjangkiti berjuta-juta orang di seluruh dunia setiap tahun.
Hasil kajian tiga tahun itu yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine pada minggu ini mendapati bahawa menjangkiti nyamuk Aedes dengan bakteria tidak berbahaya dinamakan Wolbachia mendorong kepada penurunan 77 peratus kes demam denggi.
Jangkitan yang memerlukan rawatan hospital juga menurun sebanyak 86 peratus di kawasan melibatkan penggunaan Wolbachia di bandar Yogyakarta, Pulau Jawa di mana kajian tersebut dijalankan.
Kajian itu dilakukan oleh Program Nyamuk Sedunia dan Universiti Gadjah Mada.
“Angka 77 peratus secara jujurnya adalah menakjubkan untuk penyakit berjangkit dan kami amat gembira serta bersyukur,” kata Adi Utarini yang merupakan penyelidik kesihatan awam di Universiti Gadjah Mada dan penulis bersama kajian tersebut.
Kajian itu melibatkan membebaskan bakteria Wolbachia dalam populasi nyamuk di beberapa lokasi spesifik di Yogyakarta bagi mengukur bagaimana ia memberi kesan terhadap jangkitan demam denggi dalam kalangan penduduk berumur tiga tahun hingga 45 tahun.
Penggunaan bakteria itu kini diperluaskan ke beberapa kawasan lain di bandar tersebut.
Bakteria Wolbachia menyekat keupayaan virus untuk membiak di dalam nyamuk Aedes yang menyebabkan demam denggi apabila ia menggigit manusia. – AFP