ALOR SETAR – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe diharap terus kekal bersemangat untuk mengemudi skuad negara berdepan Vietnam pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai awal pagi esok walaupun kehilangan bapanya, hari ini.
Bapa Cheng Hoe, Tan Chooi Siak, 95, meninggal dunia di rumahnya di Taman Pelangi di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.
Kakak ipar Cheng Hoe, Ooi Bee Leng, 57, berkata, seluruh ahli keluarga yakin Cheng Hoe mampu untuk terus melaksanakan tugas tersebut demi negara selepas menerima berita mengenai kematian bapanya.
“Ketika bapanya tenat, saya ada menghubungi Cheng Hoe dan dia meminta supaya bapanya dibawa ke salah sebuah hospital swasta dekat sini.
“Namun, Chooi Siak meninggal dunia di rumah selepas itu. Cheng Hoe jelas sedih apabila menerima berita itu tetapi dia tenang dan kami yakin dia mampu untuk terus mengendalikan skuad negara ketika ini,” katanya ketika ditemui di rumah mendiang di Taman Pelangi di sini hari ini.
Cheng Hoe merupakan anak keenam daripada lapan beradik.-K! ONLINE