KOTA KINABALU – Anak lelaki seorang ahli perniagaan sebuah syarikat perkapalan serta perhotelan terkemuka negeri ini ditemui mati di rumahnya kelmarin.
Mangsa berusia 42 tahun itu ditemui di dalam bilik tidur rumahnya di Jalan Lintas oleh ahli keluarga kira-kira pukul 6 petang sebelum membuat laporan polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, siasatan setakat ini masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
“Mayat mangsa kini sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan kita masih menunggu keputusan saringan Covid-19 sebelum tindakan lanjut dilakukan.
“Polis juga masih menunggu laporan bedah siasat untuk membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Hazani menyatakan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian atau pada tubuh badan mangsa.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – K! ONLINE