PETALING JAYA – Pelakon Datuk Aaron Aziz memuji petugas dan perjalanan proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi kerana menyediakan perkhidmatan yang cekap dan lancar.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, pelakon kelahiran Singapura itu turut berkongsi video dirinya menerima suntikan dos pertama vaksin jenis AstraZeneca semalam di PPV Bangi.
“Assalamualaikum. Alhamdulillah sudah dicucuk (vaksin). Sangat teruja dengan proses menerima suntikan vaksin yang lancar.
“Terima kasih kepada PPV UKM Bangi dan Qualitas Medical Group. Terima kasih kepada jururawat yang cucuk saya. Bermula dengan Bismillah tiba-tiba dah cucuk,” tulisnya dalam Instagram.
Ujar pelakon filem Ombak Rindu itu lagi, dia turut menggesa masyarakat untuk sama-sama tampil dan mendapatkan suntikan vaksin untuk kehidupan yang lebih baik di masa akan datang.
Dalam hantaran itu juga, Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 45, turut mengucapkan ucapan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang dianggapnya sebagai adiwira.
“Saya ingin mengucapkan kepada adiwira dalam kalangan petugas barisan hadapan. Tiada perkataan yang dapat saya luahkan betapa bersyukurnya kami semua.
“Terima kasih semua. Semoga Allah SWT melindungi kita semua dengan selamat,” katanya.
Pada masa sama, Aaron juga sempat berkongsi perkembangannya apabila memberitahu dirinya demam seketika selepas menerima suntikan vaksin AstraZeneca.
“Kepada sesiapa yang tanya kesan selepas divaksin. Selepas balik alhamdulillah sihat, boleh kemas bilik. Tapi selepas itu demam dengan suhu 38.5 darjah Celsius.
“Isteri kata padan muka sebab dia dah suruh berehat. Tapi selepas itu okey dah,” kata Aaron sambil berseloroh mengatakan dirinya semakin kacak dan sado selepas divaksin. – K! ONLINE