PUTRAJAYA – Kajian klinikal yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 66 peratus pesakit Covid-19 di negara ini mengalami Long Covid atau sindrom Post Covid.
Jumlah itu adalah daripada 1,004 pesakit kategori 4 dan 5 yang menerima rawatan susulan selepas mereka dibenarkan keluar hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sindrom itu merupakan suatu keadaan di mana bekas pesakit Covid-19 masih menunjukkan gejala-gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih.
Katanya, gejala-gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.
“Keadaan ini berpunca daripada komplikasi jangkitan Covid-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu.
“Secara amnya, data klinikal menunjukkan majoriti pesakit Covid-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya namun terdapat segelintir yang terkesan dengan sindrom Post Covid,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit Covid-19 adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan.
Beliau berkata, sehingga kini, rawatan yang ditawarkan adalah berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat.
“Rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum,” katanya. -K! ONLINE