PARIS – Bintang tenis Greece, Stefanos Tsitsipas mara ke pentas separuh akhir Terbuka Perancis buat kali kedua berturut-turut selepas mengejut pemain No.2 dunia, Danill Medvedev awal pagi semalam.
Pemain berusia 22 tahun tersebut mara ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan 6-3, 7-6, 7-5 sekaligus akan berdepan pemain Jerman, Alexander Zverev hari ini
Musim ini, pemain Greece tersebut meraih kemenangan paling banyak siri Jelajah ATP terutama di gelanggang tanah liat apabila menjuarai gelaran di Monte Carlo dan Lyon.
“Perlawanan yang menarik dan sukar kerana kami berdua bermain dengan begitu baik terutama menerusi pukulan servis. Saya akui pukulan Medvedev sangat kuat.
“Pada saingan ini, saya telah menentang salah seorang pemain terbaik dalam kejohanan ini. Saya terpaksa meningkatkan tahap permainan saya disepanjang perlawanan.
“Secara keseluruhan saya gembira dapat melepasinya dan terus bertahan dalam saingan ini. Saya cuba melakukan yang terbaik untuk melangkah ke final,” kata pemain ranking No.5 dunia tersebut.
Sebagai rekod, ia merupakan kali kedua Tsitsipas berjaya mengatasi Medvedev dalam lapan aksi sebelum ini. – AGENSI