JOHOR BAHRU – Cubaan sindiket untuk menyeludup masuk rokok tidak bercukai ke negara jiran dengan menyembunyikan 320,000 batang rokok di dalam 19 tong ikan berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam kejadian di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Sabtu lalu.
Pengarah Kastam Negeri Johor, Sazali Mohamad berkata, kegiatan sindiket itu berjaya dipatahkan pada pukul 6.20 petang ketika pemeriksaan laluan eksport ke Singapura.
Katanya, rokok putih tidak bercukai itu ditemui selepas pemeriksaan dijalankan bersama pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) ke atas sebuah lori.
“Jumlah rokok putih yang dirampas di dalam 19 tong ikan itu adalah sebanyak 320,000 batang dengan nilai rampasan dianggarkan RM76,800 dengan duti dan cukai yang terlibat sebanyak RM218,880.
“Susulan penemuan rokok seludup itu, seorang pemandu lori warga tempatan yang berusia 31 tahun telah ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sazali berkata, lori tersebut turut disita dengan nilai keseluruhan dagangan yang dirampas termasuk cukai dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM 375,680. -K! ONLINE