Apabila timbul isu golongan warga emas antara yang paling ramai ‘lari’ daripada janji temu vaksinasi Covid-19, perkara pertama yang terlintas di fikiran ini adalah kasihan dan simpati.
Majoriti warga emas bukanlah mereka yang betah dengan peredaran maklumat terkini.
Kebanyakan mereka tinggal di kampung dan luar bandar, hanya mendengar perkembangan terkini menerusi anak-anak di bandar, televisyen dan rakan-rakan sebaya.
Tidak keterlaluan jika keengganan mereka ini disebabkan oleh rakan seusia yang juga hanya menerima mesej berantai daripada pihak tertentu yang mengambil kesempatan ke atas golongan ini.
Sebenarnya, ibu bapa ini bukanlah menolak secara total penerimaan vaksin, namun penulis percaya perasaan mereka adalah lebih kepada takut kerana tidak memahami apa itu vaksin.
Situasi sama dialami oleh selebriti dan pengacara popular, Sherry Al-Hadad apabila ibunya enggan menerima vaksin pada mulanya.
Menurut Sherry, reaksi pertama yang diberikan kepada ibunya adalah penjelasan secara baik dan tidak terus melenting.
“Saya faham kenapa ibu berat hendak terima vaksin kerana dia datang dari era berbeza. Covid-19 adalah perkara baharu dan sebagai individu yang sudah melalui banyak zaman, dia agak skeptikal.
“Jadi, alternatif saya adalah membawa dia berjumpa doktor yang lebih pakar dan menerangkan secara lanjut tentang hal vaksin. Alhamdulillah, ibu akhirnya bersetuju dan selamat menerima vaksin AstraZeneca dos pertama, bulan lalu,” kongsinya.
Sherry memberitahu, selepas berkongsi pengalaman memujuk ibunya di media sosial, ramai pengikutnya mengucapkan terima kasih kerana ia membantu ibu bapa mereka untuk turut bersetuju menerima vaksin.
Jadi, ibu bapa ini sebenarnya sama sahaja seperti anak-anak remaja kita. Banyak pengaruh rakan sebaya.
Maka sebagai anak, kita perlu bijak memujuk dan membentangkan hujah yang tepat supaya mereka lebih percayakan fakta sebenar.
Menurut pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Aizuddin Kamarul Zaman, jangan gunakan teknik memaksa atau berkeras dengan ibu bapa. Pilih untuk berlembut kerana walau apa pun, mereka adalah orang tua kita.
“Jangan sesekali kita rasa ibu bapa ini tidak tahu apa-apa, ketinggalan zaman dan cetek pemikiran kerana sebagai anak, kita perlu meletakkan ibu bapa sebagai lebih tahu dalam segala hal.
“Berbincanglah dengan baik kerana sebagai anak, kita lebih kenal ibu bapa kita. Kita hendak mengajak mereka lakukan perkara baik maka jangan ditambah rasa takut yang sudah ada,” jelasnya.
Penulis juga berdepan masalah sama apabila bapa pada mulanya hanya mahukan vaksin Pfizer kerana dalam pemikirannya, hanya itu terbaik.
Sebagai anak dan wartawan di meja luar negara, penulis meyakinkan dia bahawa semua jenis vaksin itu adalah baik. Banyak negara yang menggunakan vaksin jenis AstraZeneca, Sinovac, Moderna serta Johnson&Johnson dan telah terbukti mampu melindungi rakyatnya.
Maka, apa sahaja vaksin yang kita dapat dahulu, itulah yang terbaik untuk kita. Ayah diam dan bersetuju mendaftar sebagai penerima vaksin AstraZeneca yang dibuka baru-baru ini.
Pujuk ibu bapa tidak ubah seperti pujuk anak kecil yang mahukan sesuatu. Semakin kita berkeras, semakin dia degil, jadi berlembutlah agar hati emasnya juga boleh dilembutkan.