IPOH – Bantahan penduduk sekitar Kuala Bagan Tiang dekat Kerian berkaitan kebimbangan mereka tentang kesan projek kolam ternakan udang terhadap aktiviti nelayan tempatan di situ yang dimajukan oleh sebuah syarikat swasta akan diperhalusi.
Projek seluas 200 ekar di Sungai Betul dan Sungai Mat Aris (47 ekar) itu diluluskan untuk tujuan dimajukan oleh kerajaan negeri kepada Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) sebagai agensi bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, mesyuarat pengurusan kanan PPPNP pula telah meluluskan pajakan tanah kepada pihak pengusaha bagi menyumbang kepada perkembangan industri makanan.
Menurut beliau, susulan isu yang dibangkitkan itu kerajaan negeri telah mengarahkan pihak berwajib untuk mengesahkan dakwaan tersebut disebabkan prihatin pada kelestarian alam dan pendapatan nelayan.
“Hasilnya, PPPNP telah menghantar surat kepada Pejabat Tanah dan Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Perak, Jabatan Perikanan, Jabatan Hutan dan agensi yang berkenaan bagi mendapatkan pandangan serta penilaian mengenai kesan pelaksanaan projek di atas kedua-dua tanah tersebut.
“Perkara ini juga akan dibawa ke peringkat tertinggi untuk dibincangkan sebelum satu keputusan terbaik dibuat termasuk mendapatkan pandangan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad selaku pengerusi PPPNP demi kebaikan semua pihak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memelihara kelestarian alam serta memastikan tidak ada pihak yang terkesan khususnya melibatkan para nelayan di Kuala Bagan Tiang.
Media sebelum ini melaporkan, penduduk di Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar membantah projek kolam udang di kawasan hutan kayu bakau seluas 47 ekar yang dididakwa telah diluluskan oleh PPPNP kepada syarikat Makmur Cemerlang Sdn. Bhd.
Bantahan turut disuarakan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang melahirkan kebimbangan apabila projek kolam udang itu diluluskan ia akan menjejaskan pendapatan nelayan di kawasan tersebut yang sudah pun tertekan dengan kesan Covid-19.-K!ONLINE