fbpx

Philip tidak mengaku salah cabul peserta Unduk Ngadau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Philip Among (dua dari kanan) ketika keluar dari Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU – Bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Phillip Among mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini.

Ahli politik terbabit berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Antara pertuduhan dibacakan ialah mencabul kehormatan membabitkan dua wanita termasuklah seorang peserta Unduk Ngadau.

Menerusi pertuduhan pertama, Philip dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita pada 17 April lalu, kira-kira pukul 11 malam di ruang tamu Capsule Inn, Asia City manakala empat lagi pertuduhan melibatkan kesalahan mencabul kehormatan ke atas seorang lagi wanita yang juga peserta Unduk Ngadau di empat lokasi berasingan pada 19 Mei lalu.

Mahkamah membenarkan Philip dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan bersama dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh pengurusan kes pra perbicaraan pada 14, 21 dan 22 Julai depan.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport kepada pendakwa selain melapor diri di balai polis sekali setiap bulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Mohd Ali memohon kepada mahkamah supaya mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berikutan kes terbabit mendapat liputan meluas di media.

Bagaimanapun, dua peguam mewakili tertuduh Marcel Jude dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah ikat jamin, mengambil kira tertuduh memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan dilakukan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI