IPOH – Petugas media di Perak akan menerima tarikh temujanji untuk suntikan vaksin Covid-19 bermula hari ini setelah senarai nama mereka yang berjumlah 123 orang termasuk wartawan dan jurugambar mengikut agensi masing-masing diterima.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, pihaknya akan membuat hebahan tarikh temujanji tersebut bagi petugas-petugas media ini datang mendapatkan suntikan.
“Seramai 123 petugas media akan menerima tarikh temujanji itu yang kebanyakannya berada di daerah Kinta,” katanya pada sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Media pada 28 April lalu melaporkan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sidang akhbar Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah mengumumkan kira-kira 1,500 petugas media bakal menerima vaksinasi pada Mei.
Bagaimana pun, isu suntikan kepada petugas media di negara ini mula diperkatakan apabila kumpulan itu yang juga dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan masih belum menerima tarikh temujanji seperti yang dijanjikan.
Berikutan itu, beberapa persatuan mewakili petugas media termasuk Kelab Media Putrajaya (KMP), Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Kelab Media Elit Kedah (KMEK) dan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara) juga telah mengeluarkan kenyataan masing-masing bagi meminta suntikan imunisasi itu dipercepatkan.
Semalam, seramai 100 petugas media daripada pelbagai agensi di Lembah Klang dan Putrajaya menerima suntikan di PPV Dewan Sri Seroja bermula pukul 9 pagi sehingga 12.30 tengah hari.-K!ONLINE