PARIS – Kem Perancis kini resah selepas penyerang mereka, Karim Benzema mengalami kecederaan ketika aksi persahabatan menentang Bulgaria awal pagi semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Stade De France itu, Perancis berjaya mencatat kemenangan 3-0 hasil jaringan Antoine Griezmann dan dua gol daripada penyerang veteran, Olivier Giroud.
Selepas enam tahun tersisih, Benzema kembali dipanggil untuk memperkuatkan Perancis pada saingan Euro kali ini, namun pada aksi menentang Bulgaria tersebut dia terpaksa dikeluarkan pada babak pertama perlawanan kerana mengalami kecederaan.
Kecederaan itu berlaku ketika Benzema dicabar pemain pertahanan Bulgaria, Ivan Turitsov menyebabkan penyerang Real Madrid itu dilihat memegang lututnya sebelum jurulatih Perancis, Didier Deschamps membuat keputusan mengeluarkannya pada minit ke-37.
“Ada sedikit kecederaan dialami Benzema. Otot di bawah lututnya mengalami hentakan menyebabkan dia mengalami kesakitan dan kami tidak mahu mengambil risiko untuk dia meneruskan aksi,” kata Deschamps.
Benzema kembali menyertai Les Bleus selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama The Galacticos musim ini selepas meledak 23 gol dalam saingan La Liga menyebabkan Deschamps tidak mempunyai pilihan kecuali kembali menyenaraikannya.
Aksi pertama Benzema bersama Perancis tidak begitu meyakinkan selepas dia gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Wales.
Kecederaan dialami Benzema itu membuka peluang buat Giroud membuktikan kehebatan dan penyerang Chelsea itu membalas kepercayaan dengan meledak dua gol pada 10 minit terakhir perlawanan.
Dua gol berkenaan menyaksikan Giroud kini hanya ketinggalan lima jaringan di belakang penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis, Thierry Henry yang mengumpul 51 gol sepanjang aksi bersama pasukan kebangsaannya. – AGENSI