PARIS – Pemain tenis Rusia, Anastasia Pavlyuchenkova melangkah ke peringkat separuh akhir Grand Slam buat julung kali dalam kariernya selepas mengatasi Elena Rybakina pada suku akhir Terbuka Perancis awal pagi semalam.
Pemain berusia 29 tahun tersebut yang telah beraksi buat kali ketujuh di peringkat suku akhir Grand Slam menggunakan pengalaman tersebut menyingkirkan Rybakina dengan keputusan 6-7, 6-2, 9-7.
Bagaimanapun, pemain pilihan ke-31 tersebut mengakui gugup ketika berdepan Rybakina, namun bangkit semula pada set kedua sebelum meraih kemenangan untuk melangkah ke separuh akhir.
“Sebenarnya perlawanan ini sangat sukar kerana sebelum melangkah ke gelanggang saya sangat gugup, namun saya tahu ia adalah perasaan biasa bagi seorang atlet kerana masing-masing ingin mencatatkan kemenangan.
“Saya akui Rybakina bermain dengan begitu baik terutama menerusi pukulan servis dan sukar untuk membalasnya semula, tetapi saya berjaya mengatasinya dan itulah kunci kejayaan saya hari ini.
“Sudah pasti saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana saya memasang impian untuk ke separuh akhir. Kini saya perlu melakukan persiapan untuk memastikan tiket ke final menjadi milik saya,” katanya.
Sebagai rekod, Pavlyuchenkova menjadi pemain tenis Rusia pertama melangkah ke separuh akhir dalam saingan Grand Slam untuk tempoh enam tahun sejak Elena Vesnina melakukannya di Wimbledon pada 2016. – AGENSI