fbpx

Menyamar polis kononnya mahu tangkap khalwat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta Perodua Bezza yang dirampas dalam serbuan di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas semalam.

SEBERANG PERAI – Tiga penjenayah yang menyamar anggota polis bagi melakukan pemerasan dan rompakan ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas di sini semalam.

Suspek berusia di antara 28 hingga 32 tahun itu ditahan semasa Ops Cantas oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) kira-kira pukul 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tangkapn dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian rompakan di sebuah rumah di Bandar Putra Bertam kira-kira pukul 6.20 pagi kelmarin.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika salah seorang mangsa lelaki sedang mengambil rakannya di hadapan rumah yang didiami oleh enam individu iaitu dua lelaki dan empat wanita.

“Dua lelaki itu secara tiba-tiba didatangi tiga suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru memperkenalkan diri sebagai polis.

“Suspek menyuruh mereka masuk ke dalam rumah dan mengarahkan penghuni-penghuni lain masuk ke dalam satu bilik di tingkat atas.

“Suspek kemudiannya memanggil salah seorang dari dalam bilik untuk keluar dari bilik sebelum mereka beredar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek telah menyerahkan semula kad pengenalan salah seorang mangsa, namun tujuh telefon bimbit dilaporkan telah dilarikan.

Plastik tertera logo dan tulisan PDRM yang dirampas dalam serbuan di Bandar Putra Bertam, Kepala Batas semalam.

Menurut Noorzainy, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek yang positif dadah jenis syabu itu mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Siasatan turut mendapati suspek berusia 34 tahun memiliki 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala dua suspek berusia 28 tahun miliki enam dan empat rekod.

“Polis merampas pelbagai barangan seperti beberapa unit telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Bezza serta plastik yang tertera logo dan tulisan Polis Diraja Malaysia,” katanya lagi.

Menurut Noorzainy, pihaknya meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan polis kerana suspek sering memperdaya mangsa kononnya untuk membuat tangkapan khalwat dengan menyasarkan rumah yang didiami individu bujang.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI