AMSTERDAM – Pemain tengah Manchester United, Donny Van De Beek terpaksa melupakan saingan Euro 2020 selepas mengalami kecederaan dan tidak sempat untuk pulih.
Van De Beek dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha ketika beraksi bersama United sebelum ini dan masalah itu menyebabkan dia tidak mampu untuk memberikan aksi terbaik bersama Belanda dan terpaksa disisihkan.
Biarpun pemain berusia 24 tahun itu terpaksa disisihkan, jurulatih Belanda, Frank De Boer membuat keputusan untuk tidak memanggil pemain lain yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu.
Biarpun gagal mendapat minit permainan yang banyak musim ini bersama United, Van De Beek tetap disenaraikan di dalam skuad Belanda oleh De Boer untuk mengharungi aksi Euro 2020.
Dia hanya memanaskan bangku simpanan ketika Belanda terikat 2-2 menentang Scotland minggu lalu, namun tidak disenaraikan di dalam skuad itu ketika mereka mencatat kemenangan ke atas Georgia pada aksi berikutnya.
Ketiadaan Van De Beek itu berpunca daripada masalah kecederaan yang dialami dan pasukan perubatan Belanda mengesahkan bahawa kecederaan pangkal paha itu menyebabkan dia perlu berehat dan tidak sempat pulih untuk diturunkan pada aksi kali ini.
Kecederaan itu menambah kekecewaan Van De Beek yang hanya diturunkan sebanyak 15 kali sebagai pemain utama daripada 36 penampilan musim ini dalam semua kejohanan dan hanya empat kali beraksi di Liga Perdana Inggeris bersama United.
Belanda dijadual turun menentang Ukraine pada aksi pertama Kumpulan C di Amsterdam pada awal pagi Isnin sebelum menentang dua lagi pasukan di dalam kumpulan itu, Austria dan Macedonia Utara. – AGENSI