KEJAYAAN persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim pada 10 April lalu membuka satu dimensi baharu untuk kumpulan legenda itu kembali bernyawa.
Mengharapkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 segera melandaikan serangan Covid-19, legasi kegemilangan empat dekad Search akan diteruskan dengan agenda Konsert Unplugged Search 40 Years yang dirancang pada September depan.
Menariknya, konsert berkenaan akan menyuntik aura baharu apabila sekali lagi menampilkan penyanyi popular Akim Ahmad selaku vokalis, di samping dua anggota asalnya iaitu Kid dan Din.
Penganjurnya iaitu COF Music diwakili Aman Nassim berkata, pembaharuan yang ditampilkan pada konsert tersebut akan memberi satu lagi transisi berbeza buat Search demi terus kekal relevan dalam industri.
“Search ialah legenda yang perlu dihidupkan sampai bila-bila. Disebabkan itu, saya merancang untuk membawa konsert istimewa ini kepada peminat. Kita tahu, bukannya mudah untuk mencari sebuah kumpulan yang mampu bertahan selama empat dekad lamanya.
“Jadi menerusi konsert ini kelak, saya mahu memasarkan semula jenama Search kepada generasi muda. Mungkin sebelum ini mereka hanya tahu sesetengah lagu sahaja, sedangkan Search ada banyak lagu popular,” katanya.
Daya tarikan Akim
Tambah Aman, Search dan Akim akan mempersembahkan sebanyak 10 buah lagu popular Search yang sebelum ini jarang didengari peminat, terutamanya golongan muda.
“Apa yang paling penting, saya mahu peminat menikmati dan menyaksikan sendiri aura baharu Search dengan kemunculan Akim selaku vokalis.
“Saya percaya dengan bakat dan vokal dimilikinya, Akim mampu menarik perhatian peminat dengan gaya nyanyian yang tersendiri,” ujarnya.
Konsert berkenaan dijangka berlangsung di sebuah lokasi yang mampu menempatkan 300 hingga 500 penonton dalam satu masa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Bagaimanapun tambah Aman, tarikh dan lokasi tepat masih belum dapat ditetapkan memandangkan pihaknya perlu menunggu perkembangan semasa Covid-19 dalam negara.
“Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan digantikan dengan arahan lain berserta SOP baharu, kemudian baru kita akan berbincang dan putuskan semuanya.
“Sekiranya persembahan secara bersemuka dapat dilaksanakan, kita akan menjual tiket. Namun, buat masa sekarang apa yang pasti kita juga akan menjual tiket secara persembahan dalam talian. Bagi peminat yang tidak dapat hadir, mereka boleh menonton secara dalam talian,” jelasnya.
Selain penganjuran Konsert Unplugged Search 40 Years, COF Music juga mempunyai perancangan yang lebih besar buat Search selepas ini.
“Jika diikutkan perbincangan dengan Din, saya nak bawa konsert Search ke Indonesia dan Singapura. Seperti semua sedia maklum, mereka mempunyai kelompok peminat yang besar di kedua-dua buah negara tersebut.
“Cuma disebabkan semua sedang bergelut dengan Covid-19, jadi perancangan itu terpaksa ditangguhkan buat masa ini. Mana tahu tahun depan boleh ke luar negara, kita akan realisasikannya,” katanya. – K! ONLINE