fbpx

Keith Foo jadi sukarelawan di PPV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keith Foo ketika bertugas sebagai sukarelawan St. John Ambulance Malaysia di PPV Hospital Pakar CMH, Seremban, hari ini. 

SEREMBAN – Sudah sebati dengan kerja-kerja kesukarelawanan dalam dirinya, pelakon, Keith Foo turut tidak ketinggalan untuk bertugas sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Dia yang juga sukarelawan St. John Ambulance Malaysia Cawangan Negeri Sembilan berkata, ketika ini dia sudah bertugas selama tiga hari di PPV Hospital Pakar CMH.

Tambahnya, dalam keadaan penggambaran drama terpaksa diberhentikan sementara ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, jadi dia mengisi waktu yang ada sebagai sukarelawan.

“Dalam keadaan peningkatan kes Covid-19 ketika ini, saya rasakan ini waktu yang baik untuk saya membantu terutama mengurangkan beban petugas barisan hadapan.

“Sebelum ini saya banyak terlibat dalam program kemanusiaan seperti banjir, program derma darah dan pengedaran peralatan perlindungan diri (PPE) ke hospital dan klinik, namun kali ini cabarannya membantu mempercepatkan proses pendaftaran dan mengisi borang di PPV.

“Saya seronok dapat berjumpa dengan penerima vaksin terutamanya dalam kalangan warga emas,” katanya ketika ditemui pemberita di hospital tersebut hari ini.

Keith yang berasal dari Gemas memberitahu, sebelum ini, sekiranya dia tidak terlibat dalam sebarang penggambaran drama, memang dia akan turun padang membantu golongan yang memerlukan.

“Saya sudah terlibat dalam bidang kesukarelawanan sejak tiga tahun lalu, ia sudah sebati dengan hidup saya.

“Pernah sekali saya menyertai aktiviti sukarelawan pada bulan Ramadan lalu di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), saya puas dapat membantu petugas barisan hadapan dan apabila saya pulang saya tidur lena,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon drama Ariana Rose itu menjelaskan, dia berhasrat untuk menerbitkan sebuah dokumentari berkaitan aktiviti kesukarelawanan satu hari nanti.

“Penglibatan saya dalam bidang ini dilihat sebagai pemangkin semangat untuk orang lain menyertai aktiviti seperti ini. Mungkin satu hari nanti boleh buat satu kisah mengenai aktiviti kesukarelawanan ini,” katanya.

Menyentuh mengenai kariernya, Keith memberitahu telah selesai menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan drama.

“Antaranya adalah drama Dia Bukan Bidadari dan telefilem Gostan pula akan ditayangkan pada Sabtu ini dalam slot drama TV RTM,” katanya lagi.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI