PENSACOLA, FLORIDA – Sebuah restoran di Florida menjadi perhatian ramai kerana keunikan hiasan dalamannya yang menggantung helaian wang kertas pada bahagian siling restoran dengan nilai anggaran mencecah AS$2 juta (RM8.2 juta), lapor laman berita Oddity Central semalam.
Hiasan wang kertas di McGuire’s Irish Pub itu digantung pada tahun 1977 apabila pemiliknya, Martin McGuire dan isterinya, Molly McGuire memulakan perniagaan tersebut.
Apabila Molly mendapat wang tips pertamanya daripada pelanggan yang bernilai AS$1 (RM4.10), dia meraikan kejayaan tersebut dengan cara menulis tarikh pada wang kertas itu dan menggantungkannya di bahagian belakang kaunter bar untuk membawa tuah.
Bermula dari itu, para pelanggan restoran tersebut turut melakukan tindakan yang sama dengan melekat dan menggantung wang kertas dalam restoran tersebut.
“Restoran seluas 1,393.5 meter persegi ini mempunyai banyak wang kertas yang digantung di setiap sudut siling dan dinding.
“Kami mengira nilainya setiap tahun dan membayar cukai bagi setiap pertambahan jumlahnya,” ujar Martin dalam satu temu bual dengan akhbar Chicago Tribune pada tahun 1999.
Ketika temu bual itu, Martin menganggarkan nilai wang kertas tersebut adalah kira-kira AS$175,000 (RM720,600), namun kini angka itu sudah meningkat sekitar hampir AS$2 juta (RM8.2 juta).
Dalam pada itu, disebabkan hiasan wang kertas tersebut, banyak kejadian kecurian dan cubaan mencuri dilaporkan berlaku di McGuire’s Irish Pub.
Bagaimanapun, semua cubaan itu gagal kerana wang kertas yang digantung mempunyai tanda tangan di atasnya dengan lubang alat penebuk, menjadikannya tidak bernilai untuk urusan jual beli. – AGENSI