PETALING JAYA – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menggariskan empat faktor keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.
Presidennya, Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pertama semua pihak memberi perhatian dan tumpuan lebih kepada pendidikan disebabkan negara dilanda pandemik Covid-19.
“Kedua kegigihan para pendidik membimbing dengan pelbagai cara termasuk atas talian, didik TV, bersemuka, modular serta pakej-pakej yang diedarkan kepada pelajar.
“Ketiga persefahaman dan kerjasama erat ibu bapa atau penjaga menyediakan persekitaran dan bahan keperluan seperti peranti dan wang ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Ali berkata, faktor keempat para pelajar bersiap siaga kerana memahami keperluan dan kepentingan pendidikan ekoran kekangan yang luar biasa.
Justeru, katanya, PIBGN mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang berjaya menghasilkan pencapaian cemerlang SPM 2020 disebalik pandemik Covid-19.
“Ini kerja gigih Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak guru, ibu bapa atau penjaga dan pelajar. Amat membanggakan perkara ini dapat dihasilkan dalam masa pandemik,” katanya. – K! ONLINE