fbpx

Dua biras nyaris lemas, perahu tenggelam di tengah laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Marasip (kiri) dan birasnya, Yahya selepas terselamat dalam kejadian perahu tenggelam di Pantai Puteri, Melaka semalam.

MELAKA – “Mujur saya pencen Bomba, Allah berikan rezeki dipanjangkan usia kami berdua, saya kepit tangan biras kuat-kuat, minta dia bertenang sambil berenang membawanya kira-kira 200 meter dari tengah lautan ke gigi pantai,”.

Kata seorang nelayan, Marasip Aziz, 60, menceritakan kembali detik cemas apabila perahu dinaiki bersama birasnya, Yahya Senin, 74, tenggelam dipukul ombak di perairan Pantai Puteri, di sini semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi tadi ketika mereka berdua dalam perjalanan pulang ke daratan selepas memasang jaring berdekatan jeti gas asli cecair (LNG) Petronas.

“Ketika dalam perjalanan pulang, kami turut membawa dua ‘lilit’ jaring ikan selangat seberat kira-kira 80 kilogram setiapnya.

“Namun, lagi 200 meter untuk sampai di gigi air, dalam sekelip mata perahu kami terbalik dipukul ombak dan biras saya atau mesra dengan panggilan ‘YB’ terkapai-kapai mencari tempat berpaut.

“Dalam suasana ombak kuat, saya menjerit memintanya bertenang dan berpaut pada saya sambil tangan saya sebelah lagi tangan memegang satu ikat jaring. Saya hanya ‘kayuh’ bahagian kaki dan perlahan-lahan berenang menuju ke gigi pantai,” katanya.

Jelasnya, dia bersyukur pengalaman berkhidmat dalam pasukan Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia selama 38 tahun menjadikannya lebih peka dengan keadaan sekeliling dan tahu cara untuk menyelamat.

“Apa yang saya risaukan ketika itu adalah biras saya mengalami kekejangan dan terlepas daripada pegangan saya, ombak pula sangat kuat.

“Sepanjang saya berenang, saya berbual dengannya untuk memastikan keadaanya dan mengurangkan rasa panik. Alhamdulillah, saya berjaya membawanya sampai ke gigi pantai dan beberapa penduduk kampung serta kakitangan SWM Environment Sdn​. Bhd. (SWM) yang ternampak terus berlari menarik kami ke darat,” katanya.

Mengulas lanjut Marasip memberitahu, ketika bergelut dengan ombak laut, YB telah menyuruhnya berpatah balik mengambil satu lagi jaring berisi ikan untuk dipegang, namun perkara itu tidak lagi menjadi keutamaaan baginya.

“YB kata biar dia pegang lagi satu jaring memikirkan banyak ikan di dalamnya untuk pendapatan kami tetapi saya tidak akan merisikokan nyawanya semata-mata demi hasil laut itu.

“Dia juga sudah berusia, saya turun ke laut juga disebabkan ingin menemannya kerana kasihan katanya ingin mencari pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan turut ‘turun’ ke lokasi bagi membeli kesemua hasil laut tersebut dan memberikannya kepada orang awam dan kakitangan SWM yang membantu mangsa sebagai hadiah penghargaan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI