fbpx

Disiplin mengulang kaji resipi kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirah Zahirah

PETALING JAYA – “Sebelum dapat keputusan, macam-macam bermain di fikiran. Paling ditakuti adalah mengecewakan ramai pihak. Alhamdulillah, saya mendapat 11A.”

Itulah luahan Amirah Zahirah Abdul Jamir, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi sebaik mendapat tahu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 hari ini.

Menurut pelajar aliran Sains Agama tersebut, pada mulanya, dia menjangkakan keputusan 9A sahaja kerana berasa kurang yakin dengan kebolehannya menjawab dua mata pelajaran iaitu Sejarah dan Matematik Tambahan.

“Walaupun saya fikir tak mampu untuk menjawab kedua-dua mata pelajaran itu, tak bermakna tiada usaha dilakukan bagi mengatasi kelemahan tersebut.

“Ulang kaji dan latihan berterusan tetap dibuat menjelang SPM. Habis sahaja peperiksaan itu dan menjelang hari keputusan diumumkan, saya takut mengecewakan ibu bapa dan guru-guru.

“Syukurlah akhirnya keputusan 11A diraih. Saya mendapat 5A+, 5A dan 1A-,” kata anak sulung daripada empat beradik itu kepada Kosmo! hari ini.

Menurut Amirah Zahirah, dia mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang kesihatan kerana mahu mengikut jejak langkah ibunya, Faizah Mohd. Zaki, 42, yang bertugas sebagai pakar radiologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nurul Shaheera dan ibunya, Masitah Ahmad, 54.

Sementara itu, Nurul Shaheera Suhaimi, 18, berkata, tiga jenis solat yang diamalkannya sejak Tingkatan 1 iaitu tahajud, hajat dan taubat menjadi antara faktor dia memperoleh keputusan 9A dalam SPM kali ini.

Menurut pelajar aliran Sains Tulen di SMK Bandar Baru Bangi itu, selain itu, dia juga akan tidur awal iaitu selepas solat Isyak sebelum bangun sekitar tiga pagi untuk memulakan rutinnya itu.

“Kemudian, saya akan mula belajar sehinggalah solat Subuh, seterusnya bersenam kira-kira sejam. Senaman penting kerana ia membantu mengurangkan tekanan sekali gus memastikan kesihatan mental terjamin,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk belajar menerusi sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana baginya, seseorang hanya akan meraih kejayaan sekiranya mereka mempunyai keinginan kuat terhadapnya.

“Bukannya tidak ada cabaran langsung semasa SPM. Ketika menjawab soalan Sejarah, soalan tak disangka-sangka keluar, namun saya tetap menjawabnya berdasarkan pengetahuan yang ada.

“Sebaik mendapat tahu (keputusan SPM), saya terus melakukan sujud syukur,” kata anak kelima daripada enam beradik yang mahu meneruskan karier dalam bidang perakaunan tersebut.

Dalam pada itu, pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Muhammad Faris Mohd. Fairusham, 18, berkata, dia sememangnya menyasarkan keputusan 11A diperolehnya itu kerana ia merupakan cara bagi dirinya untuk membalas jasa semua pihak yang membantunya.

Ujarnya, dia bersyukur kerana sepanjang tempohnya mengulang kaji terutamanya setelah PdPR dilaksanakan, guru-guru dan rakan-rakannya tidak henti-henti membantu dan menyokong antara satu sama lain.

“Sejak Tingkatan 4 lagi memang keputusan itu diharapkan. Cuma apabila selesai menduduki SPM, perasaan was-was hadir kerana mendapati ada soalan yang dijawab secara tidak tepat,” katanya.

Menurutnya, dia mengulang kaji pelajaran berpandukan jadual disediakan guru-gurunya namun perkara paling penting baginya adalah tidak mengabaikan kesihatan mental.

“Saya akan memastikan tubuh ini mengeluarkan peluh juga, jadi antara aktiviti dilakukan adalah dengan berjoging. Selain itu, antara perkara lain yang saya gemar lakukan adalah membuat kek,” katanya.

Menurut Muhammad Faris, dia berhasrat untuk bekerja dalam bidang sains aktuari kerana ia memerlukan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, yang mana ia begitu diminatinya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI